July 4, 2024

Selangor FC didenda RM100,000 dan akan bermain menentang JDT tanpa kehadiran penyokongSelangor FC fined RM100,000, loses three points for withdrawing from  Charity Shield match against JDT

Selangor FC sedang meneliti dan mengkaji tindakan yang akan diambil susulan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan denda sebanyak RM100,000 dan hilang tiga mata.

Kelab itu berkata, pihaknya mengambil maklum akan keputusan MFL berikutan ketidakhadiran Selangor FC dalam perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mei lalu.

“Untuk makluman pihak kelab telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

“Oleh itu pihak kelab sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya,” kata Selangor FC dalam kenyataan.

MFL hari ini berkata, Ahli Lembaga Pengarahnya secara sebulat suara memutuskan agar pasukan bimbingan Nidzam Jamil itu dikenakan denda sebanyak RM100,000.

Ia berkata, denda tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan pada satu tarikh kemudian.

Selangor FC juga akan dikenakan pemotongan tiga mata, manakala pampasan kerugian akan ditanggung secara bersama antara Selangor FC dan JDT.

“MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya,” katanya lagi.

Pada 9 Mei lepas, MFL mengumumkan perlawanan sumbangsih membabitkan Selangor FC dan Johor JDT bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim terpaksa dibatalkan.

Ini susulan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan berikutan beberapa siri serangan terhadap pemain bola termasuk pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim.-MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *